Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, June 10, 2013

9/10 pintu rezeki datangnya dari berniaga

 
Mengikut hadis Nabi S.A.W. 9/10 pintu rezeki datangnya dari berniaga. Malah, jika dilihat dari satu sudut, semua pekerjaan yang kita lakukan adalah suatu bentuk perniagaan.

Ayat-ayat al-Quran juga banyak menyentuh mengenai perniagaan. Jelaslah bahawa berniaga adalah suatu pekerjaan yang digalakkan dalam Islam. Mencari keuntungan atau kekayaan bukanlah suatu halangan, seperti pada Surah al-Jumaat, ayat 10, yang bererti:

"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menguruskan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan supaya kamu berjaya di dunia dan akhirat)."

Ayat ini menjelaskan Allah tidak menghalang seseorang mencari sebanyak mana dari nikmat Allah s.w.t. yang mereka suka termasuk daripada perniagaan, tetapi seharusnya kita tidak mengabaikan suruhanNya.

Tidak dinafikan, seseorang yang berniaga akan mendapat lebih banyak kebebasan dalam pelbagai segi. Bukan hanya dari segi masa, tapi juga dari segi bagaimana pendapatan dijana, sumber pendapatan tersebut dan untuk apa keuntungan kemudiannya digunakan.

Berniaga juga membuka ruang yang luas untuk bersedekah dan membantu orang lain, seperti memberikan peluang pekerjaan kepada fakir miskin atau orang kurang upaya. Setiap manusia sudah ditentukan rezeki masing-masing. Maka seelok-eloknya kita menggunakan rezeki yang dikurniakan itu untuk membantu golongan lain pula.

Dalam Islam perniagaan perlulah menitikberatkan soal haram dan halal. Ianya merangkumi soal kewangan seperti menjauhi riba dan mengurangkan hutang, dan menyentuh juga soal etika. Urusan jual-beli mestilah adil dan kita dilarang daripada menipu timbangan. Keuntungan pula mestilah bersederhana, dan tidak membebankan pembeli atau masyarakat umum.

Barangan yang diniagakan juga perlu mengikut landasan yang sudah dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran. Maka wajibah kita menjauhi yang dilarang.

Bagaimanapun, menjalankan perniagaan yang Islamik dari segi pelaksanaan adalah sama seperti konsep perniagaan lain, seperti yang datang dari Barat sekalipun. Kita hanya perlu bijak dalam membezakan yang mana yang dibolehkan, serta mempunyai jati diri untuk menolak yang ditegah. Konsep-konsep seperti motivasi diri dan kepimpinan juga boleh disesuaikan dengan ciri-ciri Islamik.

Mengelakkan amalan-amalan yang dilarang seperti mengambil riba atau menipu timbangan adalah penting untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah. Memang peniaga-peniaga yang melanggar hukum-hukum yang ditetapkan juga mampu mengaut keuntungan -- malah keuntungan yang lebih berlipat ganda -- tapi yang kita cari ialah keseimbangan di antara kepuasan material dan keberkatan, iaitu, mengejar kejayaan dunia tanpa meninggalkan kesejahteraan di akhirat.

Malah, kita seharusnya sentiasa memikirkan cara untuk mencari keberkatan dalam hidup, tidak kira apa saja aktiviti yang kita lakukan. Apatah lagi dalam perniagaan, soal keberkatan ini menjadi lebih berat dan penting kerana hasil yang kita perolehi daripada berniaga itu akan dimakan dan minum secara langsung oleh diri kita sendiri dan juga sanak saudara serta handai taulan. Sedangkan Islam secara terang melarang kita memberi keluarga kita makan dari barangan yang tidak halal!

Oleh itu, sumber rezeki perlulah bersih. Harta yang kita kumpul menerusi keuntungan perniagaan juga perlulah digunakan sewajarnya, semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah. Jika harta melimpah ruah tetapi tidak diberkati, tidak ada gunanya juga, seperti mana Qarun yang ditelan bumi dengan segala harta miliknya.

Pendek kata, dalam Islam perniagaan bukanlah semata-mata dilihat dari segi wang dan keuntungan semata-mata. Nilai-nilai tersembunyi juga perlu dipelihara supaya kita terus menjadi seorang peniaga yang berbudaya Islam.

Ini termasuklah dalam menangani persaingan. Persaingan perlu dilihat dari sudut yang sihat, iaitu sebagai satu rangsangan yang positif untuk menggalakkan kita terus berinovasi dan berdaya saing di pasaran. Kita wajar bersaing sebagaimana juga hadis Nabi dalam menuntut ilmu: tidak salah untuk berasa dengki sekiranya orang lain lebih berjaya dari kita, asal saja perasaan itu membuatkan kita berusaha dengan lebih gigih. Yang dilarang ialah usaha untuk menjatuhkan orang lain kerana dengki terhadap kejayaan mereka!

Dalam Islam tidak perlu dengki-mendengki sehingga berazam untuk menyebabkan musibah ke atas orang lain kerana rezeki telah ditentukan untuk diri masing-masing. Maka kita perlu redha.

Tambahan pula, pintu rezeki banyak terbuka dalam perniagaan, jadi kenapa perlu menutup pintu orang lain untuk menjayakan diri sendiri? Pun begitu, kita harus sedar bahawa dunia perniagaan penuh dengan cabaran dan dugaan, dan kita hanya akan mendapat apa yang kita usahakan. Setiap cabaran ini wajar dilihat sebagai suatu ujian keimanan, yang perlu kita hadapi dengan penuh kesabaran dan rasa bersyukur.

Akhir kata, seperti yang telah dinyatakan, Islam tidak pernah melarang umatnya dari mencari rezeki serta mengumpul kekayaan. Tidak salah mengejar harta, kerana kekayaan itu akan membuka lebih banyak lagi pintu untuk bersedekah. Yang perlu kita awasi ialah jangan sampai cinta kepada harta benda dan wang ringgit itu melekat di hati sehingga membutakan kita kepada yang halal dan haram serta menjauhkan kita daripada keberkatan atau meninggalkan zakat.
**Artikel ini disusun oleh Amri Rohayat dan diterbitkan dalam majalah Rezeki keluaran Februari 2011.

BERMINAT UNTUK MEMULAKAN PERNIAGAAN???

Untuk Sebarang Order/Pertanyaan:
pm/sms/whatsapp : 017-4746975 (asma)
Page : https://www.facebook.com/Amaryllishoppe
Blog : http://asmarrlurv.blogspot.com/

Al-Quran adalah solusi penyembuhan terbaik...

(Sumber petikan dari Utusan Malaysia)



Sakit jantung koronari

ASSALAMUALAIKUM. Saya Muhammad Khalid, 60, menghidap sakit jantung sejak tiga tahun lalu. Pihak hospital mengesahkan terdapat sekatan dalam saluran darah di jantung.
Menurut doktor, empat saluran darah tersumbat, salah satu sudah pecah dan tiga lagi tersumbat melebihi 60 peratus.
Pihak hospital mengatakan jantung saya berfungsi 20 peratus dan tidak boleh menjalani angioplasty atau stenting sebab faktor usia dan kerosakan intensif.
Masih adakah peluang saya sembuh dan dapatkah perubatan Al-Quran menyembuhkan saya? Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumsalam. Anda mungkin mengalami penyakit jantung koronari iaitu pembunuh nombor satu di dunia.
Allah menurunkan penyakit dan setiap penyakit yang diturunkan disertakan penawar kecuali mati.
Al-Quran adalah solusi penyembuhan terbaik sebagaimana firman Allah dalam Surah Yunus ayat 57 bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman".
Gaya hidup sekarang dan pemakanan tidak seimbang menyebabkan ramai mendapat penyakit ini.
Sepanjang pengalaman saya mengubati pesakit jantung selama 13 tahun, ramai pesakit dengan izin Allah pulih di mana tahap sekatan dalam salur darah berjaya dikurangkan dengan mengamalkan ayat al-Quran yang dikenal pasti.
Pengenalan dan ciri umumPenyakit jantung koronari adalah hasil pembentukan plak dalam saluran darah atau arteri koronari, ini dipanggil aterosklerosis.
Ateroskelrosis menyebabkan saluran darah yang asalnya licin dan elastik, kerana pembentukan plak menjadi sempit dan aliran darah ke jantung tersekat.
Akibatnya, jantung kekurangan bekalan oksigen dan nutrien penting untuk mengepam darah dengan betul lalu meningkatkan risiko serangan jantung.
PuncaPenyakit jantung berlaku tanpa mengira bangsa, latar belakang pendidikan dan status sosioekonomi. Walaupun punca sebenar tidak diketahui, penyakit jantung koronari boleh bermula dengan kerosakan atau kecederaan pada lapisan dalaman arteri.
Kerosakan mungkin disebabkan oleh:
n Tekanan darah tinggi
Kolesterol tinggi, akibat makanan banyak kolesterol atau lemak tepu. Merokok dan sumber lain nikotin.
n Diabetes
Kerosakan pada dinding dalaman arteri menyebabkan darah beku dan lemak dalam darah melekat dan terkumpul pada darah beku menyebabkan aterosklerosis.
Dari pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, terdapat kes melibatkan gangguan makhluk halus terutama sihir. Seperti diterangkan dalam rencana sebelum ini, gangguan sihir berpunca daripada kehadiran jin dalam badan pesakit.
Kadang-kala gangguan ini menyebabkan pesakit sukar bernafas, badan berpeluh sejuk, cepat letih dan simptom seperti panic attack.
Tanda awal penyakit jantung koronariGejala paling biasa adalah angina atau sakit dada. Angina digambarkan seperti jantung dipijak, rasa berat, tekanan tinggi, pedih, kebas, perasaan seperti jantung diperah.
Gejala lain termasuk:
n Sesak nafas.
n Berdebar
n Lemah, lesu atau pening.
n Loya.
n Berpeluh.
Masalah jantung tersumbat paling
biasa dialami semasa:
n Senaman atau melakukan senaman.
n Makan.
n Stres atau tekanan.
n Pendedahan kepada sejuk.
Rawatan moden
Rawatan untuk penyakit jantung koronari kini melibatkan banyak aspek terutama perubahan gaya hidup, ubatan, diet sihat, prosedur invasif atau pembedahan dan berjumpa pakar kardiologi untuk pemeriksaan biasa.
Prosedur biasa untuk merawat penyakit arteri koronari termasuk belon angioplasti (PTCA), penempatan stent dan pembedahan pintasan arteri koronari.
Rawatan Penyakit Jantung Koronari guna ayat al-QuranKebanyakan penyakit menimpa manusia berkait rapat dengan makan dan minum. Nabi SAW sering mengingatkan umat Islam tentang bahaya perut.
Umat Islam tidak digalakkan makan berlebihan. "Makan dan minumlah dan jangan berlebihan" (Al-a'raf : 31)
Selain itu, Rasulullah bersabda bermaksud: "jangan kamu matikan hati dengan banyak makan dan minum, kerana sesungguhnya hati itu seperti tanaman yang akan mati jika disiram terlalu banyak air".
Sabda Nabi SAW: "Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!"
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi tidak pernah menyebut 'hati', sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung.
Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Dalam masyarakat Melayu, qalb diterjemahkan sebagai hati, tetapi terjemahan sebenar adalah jantung.
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit jantung koronari diberi ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut:
l Surah Al-Israa' ayat 40 hingga 55
l Surah An-Nahl ayat 81 hingga 89
Pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Isra' tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Al-Ahqaaf tiga kali pada waktu siang.
Pembacaan diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas itu pesakit perlu berdoa untuk penyembuhan.
Selepas membaca dua surah pertama, pesakit hendaklah mengulang dengan surah seterusnya.
Lebih baik pesakit berjumpa perawat Al-Hidayah supaya dapat kami memeriksa jika ada gangguan makhluk halus.
Ini kerana terdapat banyak kes, setelah ke hospital dan menjalani beberapa ujian tiada sekatan dalam saluran darah tetapi mengalami tanda angina.
Hasil pengalaman saya mengubati pesakit jantung Surah Al-Israa' ayat 40 hingga 55 adalah ayat sungguh istimewa dan berkesan. Ini adalah mukjizat al-Quran.
Yakinlah bahawa segala sesuatu berlaku dengan izin Allah. Insya-Allah, sakit akan sembuh dengan izin dan kuasa-Nya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...