Ayat-ayat al-Quran juga banyak menyentuh mengenai perniagaan. Jelaslah
bahawa berniaga adalah suatu pekerjaan yang digalakkan dalam Islam. Mencari
keuntungan atau kekayaan bukanlah suatu halangan, seperti pada Surah al-Jumaat,
ayat 10, yang bererti:
"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka
bumi (untuk menguruskan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati
daripada limpah kurnia Allah serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam
segala keadaan supaya kamu berjaya di dunia dan akhirat)."
Ayat ini menjelaskan Allah tidak menghalang seseorang mencari sebanyak mana
dari nikmat Allah s.w.t. yang mereka suka termasuk daripada perniagaan, tetapi
seharusnya kita tidak mengabaikan suruhanNya.
Tidak dinafikan, seseorang yang berniaga akan mendapat lebih banyak
kebebasan dalam pelbagai segi. Bukan hanya dari segi masa, tapi juga dari segi
bagaimana pendapatan dijana, sumber pendapatan tersebut dan untuk apa
keuntungan kemudiannya digunakan.
Berniaga juga membuka ruang yang luas untuk bersedekah dan membantu orang
lain, seperti memberikan peluang pekerjaan kepada fakir miskin atau orang
kurang upaya. Setiap manusia sudah ditentukan rezeki masing-masing. Maka
seelok-eloknya kita menggunakan rezeki yang dikurniakan itu untuk membantu
golongan lain pula.
Dalam Islam perniagaan perlulah menitikberatkan soal haram dan halal. Ianya
merangkumi soal kewangan seperti menjauhi riba dan mengurangkan hutang, dan
menyentuh juga soal etika. Urusan jual-beli mestilah adil dan kita dilarang
daripada menipu timbangan. Keuntungan pula mestilah bersederhana, dan tidak
membebankan pembeli atau masyarakat umum.
Barangan yang diniagakan juga perlu mengikut landasan yang sudah dijelaskan
oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran. Maka wajibah kita menjauhi yang dilarang.
Bagaimanapun, menjalankan perniagaan yang Islamik dari segi pelaksanaan
adalah sama seperti konsep perniagaan lain, seperti yang datang dari Barat
sekalipun. Kita hanya perlu bijak dalam membezakan yang mana yang dibolehkan,
serta mempunyai jati diri untuk menolak yang ditegah. Konsep-konsep seperti
motivasi diri dan kepimpinan juga boleh disesuaikan dengan ciri-ciri Islamik.
Mengelakkan amalan-amalan yang dilarang seperti mengambil riba atau menipu
timbangan adalah penting untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah. Memang
peniaga-peniaga yang melanggar hukum-hukum yang ditetapkan juga mampu mengaut
keuntungan -- malah keuntungan yang lebih berlipat ganda -- tapi yang kita cari
ialah keseimbangan di antara kepuasan material dan keberkatan, iaitu, mengejar
kejayaan dunia tanpa meninggalkan kesejahteraan di akhirat.
Malah, kita seharusnya sentiasa memikirkan cara untuk mencari keberkatan
dalam hidup, tidak kira apa saja aktiviti yang kita lakukan. Apatah lagi dalam
perniagaan, soal keberkatan ini menjadi lebih berat dan penting kerana hasil
yang kita perolehi daripada berniaga itu akan dimakan dan minum secara langsung
oleh diri kita sendiri dan juga sanak saudara serta handai taulan. Sedangkan
Islam secara terang melarang kita memberi keluarga kita makan dari barangan
yang tidak halal!
Oleh itu, sumber rezeki perlulah bersih. Harta yang kita kumpul menerusi
keuntungan perniagaan juga perlulah digunakan sewajarnya, semata-mata untuk
mendapat keredhaan Allah. Jika harta melimpah ruah tetapi tidak diberkati,
tidak ada gunanya juga, seperti mana Qarun yang ditelan bumi dengan segala
harta miliknya.
Pendek kata, dalam Islam perniagaan bukanlah semata-mata dilihat dari segi
wang dan keuntungan semata-mata. Nilai-nilai tersembunyi juga perlu dipelihara
supaya kita terus menjadi seorang peniaga yang berbudaya Islam.
Ini termasuklah dalam menangani persaingan. Persaingan perlu dilihat dari
sudut yang sihat, iaitu sebagai satu rangsangan yang positif untuk menggalakkan
kita terus berinovasi dan berdaya saing di pasaran. Kita wajar bersaing
sebagaimana juga hadis Nabi dalam menuntut ilmu: tidak salah untuk berasa
dengki sekiranya orang lain lebih berjaya dari kita, asal saja perasaan itu
membuatkan kita berusaha dengan lebih gigih. Yang dilarang ialah usaha untuk
menjatuhkan orang lain kerana dengki terhadap kejayaan mereka!
Dalam Islam tidak perlu dengki-mendengki sehingga berazam untuk menyebabkan
musibah ke atas orang lain kerana rezeki telah ditentukan untuk diri masing-masing.
Maka kita perlu redha.
Tambahan pula, pintu rezeki banyak terbuka dalam perniagaan, jadi kenapa
perlu menutup pintu orang lain untuk menjayakan diri sendiri? Pun begitu, kita
harus sedar bahawa dunia perniagaan penuh dengan cabaran dan dugaan, dan kita
hanya akan mendapat apa yang kita usahakan. Setiap cabaran ini wajar dilihat
sebagai suatu ujian keimanan, yang perlu kita hadapi dengan penuh kesabaran dan
rasa bersyukur.
Akhir kata, seperti yang telah dinyatakan, Islam tidak pernah melarang umatnya
dari mencari rezeki serta mengumpul kekayaan. Tidak salah mengejar harta,
kerana kekayaan itu akan membuka lebih banyak lagi pintu untuk bersedekah. Yang
perlu kita awasi ialah jangan sampai cinta kepada harta benda dan wang ringgit
itu melekat di hati sehingga membutakan kita kepada yang halal dan haram serta
menjauhkan kita daripada keberkatan atau meninggalkan zakat.
**Artikel ini disusun oleh Amri Rohayat dan diterbitkan dalam majalah Rezeki keluaran Februari 2011.
BERMINAT UNTUK MEMULAKAN PERNIAGAAN???
Untuk Sebarang Order/Pertanyaan:
pm/sms/whatsapp : 017-4746975 (asma)
Page : https://www.facebook.com/Amaryllishoppe
Blog : http://asmarrlurv.blogspot.com/
pm/sms/whatsapp : 017-4746975 (asma)
Page : https://www.facebook.com/Amaryllishoppe
Blog : http://asmarrlurv.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment