SEPANJANG membesar, kanak-kanak sering terdedah kepada masalah 
kesihatan yang biasa menyerang mereka, antaranya demam, selesema, 
kesakitan di bahagian abdomen dan cirit-birit. 
 Menjadi perkara biasa sekiranya anak mengalami masalah kesihatan 
berkenaan kerana ia sebahagian daripada proses membesar, tetapi ibu bapa
 perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang cukup bagi berhadapan 
dengan situasi itu.
Ini kerana, pengetahuan yang cukup mengenai penjagaan kesihatan 
anak-anak dapat menyelamatkan nyawa mereka selain membebaskan anak 
daripada kesakitan yang terlalu berat untuk ditanggung. 
Pakar perunding pediatrik dan kardiologi pediatrik, Datuk Dr Zulkifli 
Ismail, yang mengulas mengenai tajuk ‘Jangkitan Biasa Anak-Anak dan 
Imunisasi’ dalam satu siri ceramah kesihatannya berkata, ibu bapa perlu 
faham apa yang berlaku pada kesihatan anak mereka.
Misalnya, ibu bapa perlu tahu suhu badan kanak-kanak yang normal 
adalah antara 36.6 hingga 37.5 darjah Celsius. Sekiranya lebih daripada 
paras berkenaan, ia menandakan anak mereka mengalami demam.
 Katanya, suhu badan akan lebih rendah pada waktu pagi, tetapi 
meningkat pada penghujung hari selain memberi bacaan yang berbeza 
sekiranya suhu disukat pada telinga dan mulut dengan perbezaan 0.5 
darjah Celsius.
 “Semua ibu bapa harus mempunyai termometer di 
rumah supaya dapat memeriksa suhu badan sekiranya anak kelihatan tidak 
sihat. Jika tanya pada saya, tidak perlu termometer yang mahal, tetapi 
alat yang murah pun sudah memadai.
 “Amat penting untuk mengesan demam kerana ia menjadi penanda simptom yang sedang berlaku dalam tubuh.
 “Bagi suhu badan pada bacaan 37.5 darjah Celsius, ia sudah menandakan 
demam dan suhu 38.5 darjah Celsius pula menunjukkan demam yang lebih 
kuat,” katanya.
 Bagi bayi pula, mana-mana demam boleh menjadi serius dan demam yang terlalu tinggi menyebabkan ketidakselesaan.
 Katanya, masyarakat sering terlepas pandang dua penyebab demam yang 
tinggi, iaitu ia boleh menyebabkan jangkitan di bahagian tengah telinga 
hingga boleh menyebabkan pekak dan jangkitan air kencing yang boleh 
merosakkan buah pinggang.
 Apabila anak diserang demam, apa yang 
boleh dilakukan ibu bapa adalah memberi anak minum air yang banyak dan 
buka baju supaya suhu panas tidak terperangkap dalam tubuh.
 Ibu 
bapa atau penjaga juga boleh menggunakan span atau kain yang dibasahkan 
dengan air paip dan ditekap pada tubuh anak untuk menarik panas keluar 
dari badan.
 Kain yang ditekap pada badan perlu dibasahkan 
kembali sebaik ia mula panas dan proses diulang berkali-kali sehingga 
suhu badan anak menurun.
 Beliau menasihatkan ibu bapa supaya 
tidak menggunakan air sejuk atau ais kerana ia boleh menyebabkan anak 
menggigil dan apabila ia berlaku, badan akan bertindak balas dengan 
menaikkan lagi suhu yang sudah pasti membahayakan anak mereka.
 
Katanya, ubat yang diberi pada anak ialah ubat yang diberi doktor 
diambil melalui mulut atau rektal dan dilarang sama sekali memberikan 
aspirin.
 Walaupun ibu bapa dinasihatkan supaya tenang berhadapan
 dengan demam anak-anak kerana dengan langkah yang betul demam dapat 
dikawal, tetapi ada beberapa situasi di mana anak perlu dibawa berjumpa 
doktor.
 Situasi itu sekiranya bayi berusia di bawah enam bulan, 
anak mengalami sawan, demam sudah berlarutan selama dua hari, jika demam
 ada kaitan dengan simptom lain, anak menjadi lemah dan tidak mahu makan
 atau minum, leher tegang, muntah dan menunjukkan sikap tidak keruan 
kerana kemungkinan ia ada kaitan dengan jangkitan meningitis.
 
Beliau yang juga Pengerusi Program Pengasuhan Positif yang dimulakan 
oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) berkata, selain demam, 
kanak-kanak juga sering mengalami selesema yang boleh disebabkan oleh 
300 virus berlainan jenis.
 Selesema dikenal pasti menerusi 
bersin, mata berair, demam rendah, batuk, keletihan dan hidung berair. 
Simptom ini perlu dirawat yang mana ia akan pulih dalam masa kurang 
seminggu.
 “Perkara biasa bagi kanak-kanak untuk mengalami 
selesema sehingga sembilan kali dalam setahun terutama selepas memulakan
 persekolahan tadika atau dihantar ke nurseri.
 “Selain itu, 
kanak-kanak juga mudah terdedah kepada batuk dan batuk bersama hidung 
berair yang lazimnya berlaku apabila anak diserang selesema,” katanya.
 Beliau berkata, ibu bapa perlu mengenal pasti jenis batuk yang dialami 
anak mereka bagi mendapatkan rawatan bersesuaian seperti kepada bayi, 
batuk bersama hidung berair dan nafas pendek.
 Katanya, keadaan 
boleh menjadi serius sekiranya batuk yang berlaku berterusan apabila ia 
berkait rapat dengan bronchiolitis dan asma.
 “Pada masa sama, ada jenis batuk yang dinamakan nocturnal yang hanya berlaku pada malam hari dan ia dikaitkan dengan asma.
 “Batuk dengan bunyi berdesing dikaitkan dengan serangan asma manakala 
batuk berserta pernafasan yang bising dikenali sebagai ‘croup’ manakala 
batuk berserta demam dan nafas pendek dikaitkan dengan pneumonia.
 “Ada juga batuk yang datang secara tiba-tiba seperti selepas makan kacang dan ia menunjukkan alahan,” katanya.
 Bagi kes asma di kalangan kanak-kanak, Dr Zulkifli berkata, masalah itu
 menyerang kira-kira 20 peratus kanak-kanak yang berusia antara dua 
hingga tujuh tahun.
 Asma yang mempunyai kaitan dengan batuk 
berdesing pada malam hari menunjukkan berlaku jangkitan virus dan 
inhaler akan diberikan oleh doktor bagi melegakan kesukaran bernafas.
 “Ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan mereka dalam menjaga 
kesihatan kanak-kanak supaya mereka tidak terdedah dengan elemen yang 
mampu mencetuskan masalah pernafasan ini antaranya tidak merokok di 
rumah, tidak memelihara haiwan dan elak meletakkan permaidani di rumah,”
 katanya.
 Beliau berkata, ibu bapa perlu mengambil langkah 
berjaga-jaga dan membawa anak mereka bertemu doktor sekiranya anak 
mereka mengalami sakit abdomen kerana ia boleh menunjukkan satu keadaan 
yang sangat bahaya kepada kanak-kanak itu.
 Selain itu, menurut 
Dr Zulkifli, anak kecil juga sering mengalami cirit-birit iaitu 
pembuangan najis secara kerap dan terlalu cair yang menyebabkan risiko 
dehidrasi.
 “Kanak-kanak yang mengalami cirit-birit akan 
kekurangan air dan ia boleh dilihat dari mulut mereka yang kering selain
 kurang air mata dan kulit kering.
 “Mereka perlu diberi air dalam jumlah sedikit, tetapi secara kerap dan meneruskan penyusuan susu ibu bagi bayi.
 “Cara untuk mengelak perkara itu daripada berlaku adalah menjaga 
kebersihan diri, persekitaran, sering mencuci tangan dan tidak 
membiarkan susu lebih satu jam selepas dibancuh,” katanya.
 
Menurut Dr Zulkifli, imunisasi anak bermula daripada pemberian susu ibu 
kerana ia membekalkan nutrien secukupnya pada bayi, bersih, selamat, 
steril serta mempunyai antibodi yang melindungi tubuh.
 Penyusuan
 badan bersifat imunisasi pasif kepada bayi selain imunisasi aktif 
seperti suntikan yang diberi mengikut umur bersesuaian berdasarkan carta
 yang disediakan Kementerian Kesihatan.
Info :  myMetro
Klik lagi untuk info kesihatan di link ini: 
 Antibiotik dalam bentuk supplimen kesihatan 
Zat Nutrisi terbaik untuk anak-anak